Aktivisma Mahasiswa

Tuesday, August 01, 2006

AKTIVISMA MAHASISWA: ANTARA DILEMA DAN IDEALISMA

Oleh; Amin Idris

Allahyarham Malek ben Nabi mengingatkan betapa masyarakat tanpa idealisma adalah masyarakat yang beku. Dengan menggunakan ungkapan idea pendorong (guiding ideas), beliau menyeru agar penggilapan idealisma ini segera dilakukan. Idealisma ini pula perlu didokong oleh sikap yang betul bagi merangkul kejayaan sepertimana yang pernah digagaskan oleh Lewis Fever sebagai, “the highest degree of selflessness, generosity, compassion and readiness for sacrifice.” Ungkapan tersebut menggambarkan betapa pentingnya ‘senjata’ dan ‘kuasa’ pengorbanan.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’ bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana. Beliau juga di dalam kitabnya, ‘Kritikan dan Saranan untuk Para Da’ie’ iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.


Isu remaja aktif berpolitik atau lebih khusus kepada mahasiswai hangat diperkatakan oleh banyak pihak. Ramai yang berpendapat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia sepatutnya menumpukan perhatian terhadap pelajaran, bukan aktiviti berpolitik. Namun, ramai juga yang menyokong penglibatan pelajar IPTA tempatan dalam politik tanahair; suatu petanda positif ke arah menghasilkan barisan pelajar yang kritis dan prihatin. Kemampuan mereka menggegarkan dunia politik tanahair telah lama terbukti apabila Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dimaktubkan di dalam perlembagaan negara.

Perjuangan menentang kezaliman politik negara telah menjadi agenda utama kebangkitan "Anti-Establishment" di kalangan mahasiswa tempatan; satu fenomena yang telah mula menjadi norma masyarakat Malaysia semenjak tahun 70-an lagi. Antara isu lain yang turut didebatkan oleh golongan aktivis mahasiswa adalah kepincangan institusi mahkamah negara. Sistem keadilan negara hangat dikecam semasa skandal Anwar Ibrahim yang telah mencetuskan gerakan Reformasi dan akan kekal dalam sejarah sebagai salah sebuah milestone dunia politik tanahair.

Persoalannya, mampukah golongan mahasiswa tanahair hari ini bertindak cemerlang untuk memperbetulkan kesalahan keputusan pengadilan mahkamah negara?

Dunia Siber Menjadi Alternatif

Dahulu, aktivisme politik mahasiswa negara berorientasikan perjuangan fizikal yang memerlukan usaha gigih berkempen dan berdemonstrasi. Tunjuk perasaan umum diadakan secara meluas dan disertai oleh ribuan pelajar IPTA tempatan. Perubahan method aktivisme ini jelas terpancar selepas termaktubnya AUKU pada tahun 1971. Mahasiswa kini lebih cenderung ke arah meluahkan perasaan mereka menerusi tulisan yang dipaparkan menerusi media cetak. Namun, evolusi dunia ke arah masyarakat global yang celik siber telah menjana kebangkitan aktivisme politik di Internet. Pelbagai laman web dapat dilayari sebagai bukti evolusi teknik aktivisme politik negara. Antara lain adalah seperti Kampus Negara.com, Pkpim.net, Idealis-Mahasiswa.net dan sebangainya. Persoalan bentuk pemikiran dan di manakah kecenderungan politik mereka adalah perkara kedua lain. Fokusnya ialah wujud pelbagai laman web yang menjadi wadah ekspresi idea bagi siswa-siswi.

Oleh kerana AUKU mengenakan pelbagai larangan dan sekatan ke atas mahasiswa dan mahasiswi negara, perubahan method aktivisme ini seolah-olah tidak dapat dihindarkan. Apa yang mengagumkan adalah kehebatan mahasiswa negara menyampaikan pendapat politik mereka menerusi tulisan-tulisan penuh semangat dan berfakta melalui laman-laman web ini. Perkembangan mentaliti aktivis-aktivis muda ini jelas terpancar apabila aktivisme politik tanahair mula mempamerkan konsep perjuangan intelek, sesuai dengan citarasa maysrakat kontemporari Malaysia.

Keadilan dan mahkamah

Sudah banyak kes-kes mahkamah negara yang diragui kesahihan dan ketelusan pengadilannya di Malaysia ini. Bermula dari kes pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas hinggalah kes bekas Timbalan Perdana Menteri kita Dato Seri Anwar Ibrahim, telah terdapat banyak kes pengadilan yang menimbulkan keraguan terhadap sistem mahkamah negara. Ini masih belum disertai oleh ratusan malah mungkin ribuan individu yang mejadi mangsa ketidakadilan sistem "pengadilan" negara. Hal ini turut berkait rapat dengan skandal keganasan polis yang didakwa sebagai dalang di sebalik kenyataan-kenyataan palsu oleh saksi-saksi boneka. Masalah ini bukannya unik untuk Malaysia, malah turut menjadi kontroversi sosial di negara-negara asing yang kononnya "pemelihara kebebasan" dan "pelindung keadilan" contohnya Amerika Syarikat (AS) sendiri. Namun, bukan semua kes-kes ini merupakan mangsa-mangsa korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Di AS pun terdapat beberapa kes-kes jenayah berat yang disabitkan kerana kemantapan hujah-hujah pendakwaraya dan kekurangan bukti yang menyokong defenden.

Apakah mampu kita menyiasat kembali kes-kes ini dan seterusnya boleh membuktikan bahawa defenden itu sebenarnya tidak bersalah? Adakah logik dan mampu bagi pelajar-pelajar universiti menjayakan usaha yang sebegitu sukar?

Mahasiswa; Budaya Mengkaji dan Menyiasat

Hakikatnya, kes-kes yang menjadi kontroversi nasional berhak disiasat kembali dengan menggunakan teknologi sisatan moden khususnya dalam bidang forensik. Kemampuan mahasiswa Malaysia untuk melaksanakan tugas bermagnitud sebegini tinggi tidak perlu diragui. IPTA tempatan telah banyak menghasilkan graduan yang berkaliber dalam jurusan undang-undang dan kewartawanan. Di AS, sebuah universiti di Evanston, Illinois berhak menjadi role-model terbaik untuk mendorong mahasiswa tempatan untuk menggunakan kehebatan mereka melaksanakan tugasan-tugasan seperti ini. Northwestern University merupakan universiti terbaik di AS dalam bidang kewartawanan. Di sini, telah ditubuhkan Center on Wrongful Convictions hasil usahasama fakulti kewartawanan dan fakulti undang-undang universiti ini.

Tenaga kerja organisasi ini membariskan pelajar-pelajar kewartawanan dan perundangan dan dibantu oleh beberapa orang staf penuh-masa yang merupakan pakar dalam pelbagai bidang perundangan sivil khususnya perundangan homisid. Organisasi ini turut disertai oleh sukarelawan dari seluruh pelusuk AS di samping menawarkan latihan kepada pelajar-pelajar kewartawanan atau undang-undang yang mempamerkan kecemerlangan akademik untuk membantu kelancaran program organisasi ini. Dengan bantuan kewangan yang mantap daripada syarikat-syarikat swasta dan derma ikhlas tahunan, organisasi ini telah berjaya menyelamatkan puluhan individu daripada menjalani hukuman mati atau penjara untuk jenayah yang tidak pernah mereka lakukan. Kejayaan paling cemerlang organisasi ini adalah apabila mereka berjaya membuktikan Anthony Porter tidak bersalah atas dakwaan membunuh. Anthony Porter hanya 50 jam sebelum dihukum mati dan dalam tempoh sebegitu singkat, usaha kolektif organisasi ini telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti kukuh untuk membebaskan beliau dari semua tuduhan. Kejayaan ini telah membuka peluang untuk siasatan lanjut yang akhirnya membuktikan korupsi polis Chicago yang telah memaksa pengakuan palsu seorang saksi palsu. Berkat usaha gigih mereka juga telah berjaya menemui pesalah sebenar yang berselindung di sebalik dakwaan palsu terhadap Anthony Porter disamping membantu beliau memfailkan saman terhadap polis Chicago atas dakwaan pemalsuan bukti dan korupsi.

Center on Wrongful Convictions ini merupakan satu insiatif mahasiswa Chicago ke arah menjamin keadilan sistem perundangan negeri Illinois. Jika mahasiswa di AS boleh melakukannya, apakah mustahil bagi pelajar-pelajar IPTA tempatan turut memiliki kaliber untuk melaksanakan program sebegini rupa di Malaysia. Usaha-usaha sebegini ini amat diperlukan bagi memulihkan imej mahasiswa tempatan yang dikatakan sudah terpesong dari matlamat asal untuk menuntut ilmu supaya boleh berbakti kepada masyarakat. Selain itu, dengan bergiat aktif dalam organisasi-organisasi sebegini juga boleh mendatangkan pengalaman berharga sebagai bekalan untuk menempuhi alam perkerjaan professional kelak. Secara peribadi, penulis menyarankan agar penglibatan aktif mahasiswa Malaysia dalam usaha membuktikan kepincangan sistem pengadilan termasuk tatkala menulis atau berbicara. Berilah keutamaan kepada kajian dan siasatan mendedahkan kepincangan dan kegagalan mereka yang berkuasa di dalam tulisan daripada tulisan-tulisan berbentuk ‘jiwang’, terlalu puitis. Dengan kelantangan suara generasi muda Malaysia, dapat kita saksikan nanti arus perubahan yang sudah lama diharapkan untuk kembali membersihkan sistem perundangan negara yang didakwa "tercemar" dengan korupsi dan skandal.

Idealisma Mahasiswa ke arah Pembangunan Umat

Kaliber tinggi di kalangan aktivis muda negara perlu dihalakan ke arah pembangunan umat Malaysia. Memang benar usaha sebegini amat sukar untuk dilaksanakan, tetapi jika semua pihak sedia berusaha gigih usaha ini boleh dijayakan. Sehingga kini, usaha menuntut keadilan hanya bertumpu kepada keadilan politik (propaganda Reformasi yang terus mara menuntut keadilan bagi pihak bekas Timbalan PM kita). Jika keseriusan ini ditumpukan pula ke arah usaha mengkaji kepincangan sistem perundangan negara dengan teliti dan mengemukakan bukti-bukti kukuh untuk membebaskan tahanan penjara daripada dakwaan palsu, martabat dan imej mahasiswa akan dapat dipulihkan dan mahasiswa akan mula dihormati dan dihargai. Mungkin, usaha sebegini akan menyedarkan masyarakat umum tentang kematangan intelek mahasiswa Malaysia dan seterusnya membuka peluang untuk mahasiswa untuk bergiat aktif dalam senario politik, kebudayaan, dan pendidikan kebangsaan. Mungkin juga, usaha ini akan menjadi pemangkin ke arah aktivisme mahasiswa yang positif dan membina. Malah bidang lain yang turut memainkan peranan penting di dalam pembangunan negara wajar diberi perhatian iaitu pada sudut ekonomi.

Mahasiswa wajar menggiatkan kajian yang menyeluruh dan siasatan yang mendalam untuk mendedahkan salah urus khazanah negara yang merupakan amanah besar dari rakyat kepada pemerintah. Begitu juga dalam hal kondom dan suntikan dadah percuma. Dalam hal ini, rakan-rakan siswa-siswi yang beraliran agama secara khusus seharusnya mempunyai pendirian berkenaan isu ini. Pak Lah yang merupakan perintis Islam Hadhari tiba-tiba bangkit menyokong tanpa berbelah bahagi dalam hal ini. Persoalannya, apakah ia selaras dengan kehendak dan prinsip Islam? Masih belum terbaca sebarang hasil atau tulisan akademik dan tuntas dari kacamata syara’ dalam menyokong atau mengkritik polisi terbaru Kerajaan Hadhari ini. Persoalan hukum-hakam tidak boleh dibicarakan sesuka hati kerana ia melibatkan disiplin-disiplin ilmu wahyu (hal ini dibantah oleh pembawa doktrinisasi Islam Liberal). Justeru, selagimana seseorang itu menguasai disiplin yang sepatutnya dimiliki, maka mereka berhak berbicara dalam perkara menghasilkan atau menta’wilkan sesuatu hukum. Justeru tidak timbul isu pencabulan hak asasi khususnya kebebasan bersuara di sini. Namun yang lebih penting ialah mahasiswa yang berada dalam persekitaran ilmu agama secara khusus mesti duduk semeja mengkaji, menyiasat dan menghasilkan satu pendirian untuk dinyatakan dengan lantang dan terbuka.

Gerakan Kesatuan Mahasiswa Indonesia (KAMI) yang dikaitkan dengan CIA berjaya menumbangkan Regim Sukamo. Suhu pelajar Universiti Chulalongkom dan Thammasat tidak dapat diturunkan dengan amaran asap gas pemedih mata melainkan oleh peluru. Ratusan pelajar terkorban dan tercedera. Itulah tahap dan erti kekuasaan pelajar di negara jiran. Apakah Malaysia mempunyai landskap yang sama? Penulis berpandangan bahawa memang terdapat perbezaan khususnya pada tahap kesedaran sivil. Namun, walaupun terdapat sedikit perbezaan sedemikian pada mahasiswa Malaysia, akan tetapi satu persamaan yang tidak dapat dinafikan ialah masing-masing adalah mahasiswa yang mendokong prinsip intelektual dan budi. Penguasaan ilmu mesti disaluti dengan kebaikan dan kemuliaan budi agar masyarakat dapat menikmati kewujudan kelompok mahasiswa. Bukannya seperti “hadir tidak disedari, pergi tidak dirasai.”

Saranan

Sehubungan dengan apa yang telah disebutkan, maka penulis menyarankan 3 perkara uatam untuk diteliti oleh mahasiswa Malaysia iaitu;

Mahasiswa mesti sedaya upaya menguasai bidang masing-masing agar dapat menggunakannya sebagai senjata ampuh ke arah menjana perubahan.

Setiap pendirian samada berupa sokongan atau bantahan mesti dikemukakan dalam bentuk yang diyakini melalui sokongan hujah dan fakta. Elakkanlah dari mengamalkan budaya “ampuisma” ataupun budaya “bebalisma”.

Mahasiswa mesti mempertingkat daya responsif. Jangan hanya menjadi robot yang menerima apa saja di dalam kelas atau dewan kuliah tanpa mengetahui apa yang berlaku di serata dunia. Akhirnya apabila berhadapan dengan realiti masyarakat, maka lahirlah pemimpin masyarakat yang kaku, tiada prinsip, kosong visi, korup dan penuh dengan skandal salah laku.

Putera UMNO Signifikan kepada Kebebasan Mahasiswa Berpolitik

Mahasiswa Malaysia kini sedang berhadapan dengan dunia yang pelik dan ajaib. Suatu ketika mahasiswa diindoktrinkan, digertak dan diugut supaya tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti atau parti politik. Lebih ngeri ialah wujud kes mahasiswa digantung universiti hanya kerana terlibat dengan aktiviti “haram”. Pernah juga berlaku apabila akhbar perdana melaporkan 10 pertubuhan haram mahasiswa Malaysia di muka depan. Tiba-tiba, wujud Puteri UMNO. Selang beberapa tahun kemudian, tertubuh pula Putera UMNO. Keahliannya adalah rakyat Malaysia yang berumur dalam lingkungan antara 18 hingga 25 tahun. Khairy Jamaludin di dalam salah satu kenyataannya menyebut bahawa Putera UMNO bukan sebuah parti politik sebaliknya hanya sebuah badan kebajikan. Hisyamudin Tun Hussin pula berkata melalui Putera UMNO, para ahli akan diterapkan dengan apakah yang diertikan dengan “perjuangan sebenar” (maknanya hanya UMNO layak memerintah Malaysia). Apakah dunia sudah terbalik? Seolah-oleh AUKU ini merupakan undang-undang di suatu negara yang bukan bernama Malaysia?

Oleh itu, penulis suka membuat kesimpulan dalam isu ini dengan hanya menyatakan adalah wajar UMNO menubuhkan Putera UMNO kerana ia menjadi indicator positif bahawa mereka sedar terhadap kepentingan generasi muda sebagai aset negara. Maka wajarlah juga parti-parti lain seperti MCA, MIC, Gerakan, DAP, PAS dan PKR melakukan perkara yang sama. Bukan sebagai parti politik, tapi badan kebajikan. Ayuh siswa-siswi kita masuk ramai-ramai. Di kala ini, dilema dan idealisma bukan lagi satu tribulasi bagi perjuangan mahasiswa.

Pada suatu dimensi yang berbeza, selain dari dari faktor kebobrokan parti yang memerintah sehingga sanggup menjilat ludah mereka sendiri, besar kemungkinan ini adalah satu signifikan kepada kebebasan mahasiswa berpolitik. Mahasiswa kini bebas untuk melibatkan diri dalam sebarang kegiatan luar kampus walaupun mempunyai hubungkait dengan parti politik. Mungkin hari ini UMNO, minggu depan PAS!

Konklusi

Namun demikian, pokoknya ialah mahasiswa mesti menggembeling seluruh tulang empat kerat agar amanah ilmu diperlihara dengan menterjemahkan secara praktikel ke arah Malaysia sebagai negara yang lebih adil, saksama dan tidak menggunakan demokrasi untuk membunuh demokrasi. Sekali gagal tidak bereti gagal selamanya. Perjuangan mesti diteruskan. Martabatkan kembali amanah mahasiswa sebagai “Jurubicara masyarakat”, “Nadi dan jantung rakyat”, “Agen perubahan”. Dilema hanyalah bisikan syaitan ke arah mematikan idealisma. Jangan kita biarkan ia berlaku. Hidup mahasiswa!!!

"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept on trying when there seemed to be no hope at all."

-Dale Carnegie-

0 Comments:

Post a Comment

<< Home