Aktivisma Mahasiswa

Monday, August 07, 2006

MENGIMBAS PRK 2004/05: TIPU DAYA DAN PENYELEWENGAN BERMAHARAJALELA

Pilihanraya kampus yang dirancang untuk dilaksanakan secara serentak di semua IPTA pada 22 November 2001 terpaksa ditangguhkan kerana kemangkatan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung hari ini pada 21 Nov 2001. Pilihanraya ini ditangguhkan sehingga hari Isnin 26 Nov 2001.

Pilihanraya di IPTA kali ini agar hambar, tidak berwibawa, diragui, dan penuh dengan konspirasi.


Mengapa ia hambar, , tidak berwibawa, diragui, dan penuh dengan konspirasi? Ramai pelajar di kebanyakan IPTA tidak ketahui dengan jelas mengenainya. Meskipun ada pelajar yang dimaklumkan mengenainya oleh kawan-kawan dan bakal-bakal calon, tetapi kebanyakan pelajar tidak tahu mengenai tempat mengundi, cara mengundi, siapakah calon yang bertanding. Tidak seperti pilihanraya kampus sebelum ini dan pilihanraya umum negara, pilihanraya kampus kali ini. Apa bezanya?

1. Sebelum ini calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya kampus dikehendaki memiliki keputusan peperiksaan yang cemerlang bagi mengelakkan golongan pelajar aktif ditohmah sibuk berpersatuan atau berpolitik dan kecundang dalam peperiksaan. Malangnya dengan syarat atau kriteria prestasi akademik PNGK 3.0 di UM membuatkan tidak ramai calon pro-UMNO yang layak, maka UM menurunkan syarat PNGK kepada 2.5. Di UKM, syarat PNGK diturunkan kepada 2.3 bagi membolehkan lebih ramai calon-calon pro-UMNO masuk bertanding dalam pilihanraya. Ia juga berlaku di UPM. Jika syarat itu tidak diturunkan, maka pasti lebih ramai calon-calon pelajar yang pro-Islam akan terus mengekalkan kerusi dan menguasai kampus seperti yang berlaku sebelum ini. Tindakan ini dilihat sebagai satu tamparan kepada Perdana Menteri Malaysia yang sebelum ini merungut pelajar-pelajar lemah kerana berpersatuan sedangkan yang lemah ialah pelajar-pelajar pro-UMNO yang kini sedang berusaha untuk memegang jawatan dalam Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU).

2. Calon tidak boleh berkempen kecuali melalui pita rakaman video yang hanya (mungkin) ditayangkan di tempat-tempat tertentu. Tidak ada majlis pengenalan calon lagi kali ini yang lebih meriah dan menghidupkan suasana pilihanraya di kampus. Tidak dapat dipastikan apakah pihak-pihak yang berwajib menayangkan video tersebut telah berbuat demikian atau apakah pelajar mempunyai masa tertentu untuk mengikuti waktu tayangan yang terhad itu? Lebih tidak pasti lagi ialah pihak HEP tidak memantau apakah proses kempen penayangan itu dijalankan. Kalau hendak dipantau selepas pilihanraya dan baru hendak mengambil tindakan ke atas pihak yang melaksanakan tugas, sebenarnya telah terlambat dan tidak profesional. Adakah ini dinamakan demokrasi dalam pilihanraya di mana calon tidak boleh bertemu dengan pelajar umum secara terbuka?

3. Pelajar tahun 1 hanya boleh mengundi calon tahun 1, pelajar tahun mengundi tahun 2, dan pelajar tahun 3 mengundi tahun 3. Memang pelik dan tidak masuk akal. Apakah akan berlaku sekiranya tidak ada calon dari tahun 1 yang bertanding? Apakah bakal pimpinan kampus hanya mewakili pelajar tahun 1 sahaja? Atau tahun 2 sahaja? Atau tahun 3 sahaja? Mengapa dihadkan peluang bagi pelajar untuk mengundi calon mana yang mereka suka? Mengapa dihadkan mengikut tahun? Adakah ini demokrasi?

4. Tempat mengundi dihadkan di Kolej kediaman bagi pelajar yang tinggal di Kolej kediaman, manakala pelajar luar kampus hanya akan mengundi di fakulti masing-masing. Bagaimanakah dapat dipastikan bilangan undi bagi seseorang calon tidak bercampur aduk? Bagaimana kalau ada pelajar mengundi dua kali menggunakan kad matrik orang lain atau kad matrik palsu? Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa tidak ada penipuan dalam proses pengundian kali ini? Adakah proses pilihanraya begini dikatakan telus dan profesional?

5. Poster pilihanraya di UKM memaklumkan bahawa tempat mengundi dibuka dari jam 9 pagi hingga jam 4:00 petang sahaja, tetapi pelajar hanya boleh mengundi di antara jam 9 hingga 3:30 petang menggunakan sistem berkomputer. Selepas jam 3:30 petang, pelajar akan membuang undi secara manual. Mengapa tidak hingga 4:00 petang? Apakah tidak mungkin berlaku penipuan dalam tempoh 30 minit (antara 3:30 hingga 4:00 petang)? Apakah undi secara manual akan dimasukkan dalam komputer? Jika ia, mengapa perlu tutup khidmat komputer pada jam 3:30 petang? Adakah proses pilihanraya begini telus dan berwibawa kalau inilah caranya?


6. Menurut prosedur pilihanraya di UKM, selepas tamat tempoh pembuangan undi, bilangan undi akan dikira melalui komputer (apa jadi dengan undi manual?). Proses pengiraan undi akan berjalan secara tertutup di Pusat Komputer dan ejen-ejen atau calon-calon tidak dibenarkan berada di Pusat Komputer. Yang anehnya proses pengiraan berjalan lebih dari 10 jam (dari jam 4:00 petang hingga 9:00 pagi esoknya) di Pusat Komputer dan esoknya pada jam 9:00 pagi, keputusan pilihanraya akan diumumkan di bilik gerakan HEP melalui internet. Pelajar hanya akan tahu keputusan melalui komputer (internet). Dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, pengumuman keputusan pilihanraya dibuat sejurus selesai sahaja pengiraan undi bagi sesuatu kawasan atau fakulti. Ertinya, keputusan diumumkan pada hari dan malam yang sama. Tetapi prosedur pilihanraya kali ini amat meragukan dan boleh dianggap mempunyai konspirasi yang cukup terancang. Ejen-ejen calon pilihanraya hanya dibolehkan berada di tempat pembuangan undi (di Kolej kediaman dan fakulti) tetapi menurut HEP, ejen-ejen atau calon-calon tidak dibenarkan berada di Pusat Komputer dan bilik gerakan HEP bagi memastikan ketelusan proses pilihanraya. Adakah proses pilihanraya begini telus dan berwibawa kalau inilah caranya?

7. Setiap calon pilihanraya diberikan nombor oleh pihak HEP selepas hari penamaan calon, tetapi semalam 20 Nov pihak HEP di UKM telah menukar nombor-nombor calon menyebabkan pelajar-pelajar menjadi keliru mengenai nombor calon mereka. Ada pihak menyatakan bahawa pihak berkepentingan mendapat maklumat awal bahawa calon-calon mereka akan tewas dan oleh kerana itu nombor-nombor calon telah ditukar supaya pelajar tidak boleh menghafal nombor-nombor calon mereka. Adakah ini demokrasi namanya? Adakah proses pilihanraya begini telus dan berwibawa kalau begini caranya?

8. Dari sumber-sumber yang boleh dipercayai pihak Bukit Aman menghantar satu pasukan SB ke setiap IPTA dan memantau dan membuat laporan pergerakan pelajar dalam dua minggu ini sehingga selesai pilihanraya di kampus. Sepanjang 5 tahun kebelakangan ini, pihak SB tidak pernah lupa untuk turun dengan kereta Wira putih mereka dan motor-motor mereka yang telah dikenalpasti dengan mudah, termasuk nombor plat kenderaan mereka.

Perhatian khas SB diberikan kepada golongan pelajar yang pro-Islam. Kehadiran SB sebenarnya tidak perlu di dalam kampus kecuali untuk menakut-nakutkan pelajar sahaja. Adakah ini demokrasi namanya?

9. Sepertimana biasa UMNO Pusat, UMNO Selangor dan UMNO Bahagian akan turut sama membantu golongan pelajar pro-UMNO, pro-BN dengan bantuan kewangan, material, dan moral termasuklah berkempen secara terang-terangan di kampus. Di UKM petang semalam 20 Nov 2001, wakil UMNO mengadakan majlis berbuka puasa dan melancarkan Tabung AMIN (Akademi Mahasiswa Islam Nasional) di Pusanika UKM. AMIN menggantikan TSB (Tindakan Siswa Bersatu) di UKM. AMIN adalah platform UMNO yang sedang diusahakan pendaftarannya, dan AMIN dikatakan bakal mengambilalih PMI (Persatuan Mahasiswa Islam kampus atau ISI di UKM) apabila PMI diharamkan kelak jika dapat disabitkan aktiviti PMI/ISI dengan KMM atau pro-pembangkang. Pelajar-pelajar di UKM tertanya-tanya bila pula AMIN didaftarkan di UKM atau telah didaftarkan di Pejabat Pendaftar Pertubuhan? Siapa pula yang jaga Tabung AMIN? Bukankah ini double-standard? UMNO boleh kampus, parti lain tak boleh. Di Universiti Malaya, Pemuda UMNO tanpa segan silu berkempen bagi pihak pelajar pro-UMNO dan lambang UMNO jelas terpapar di sana sini dalam kampus.

10. Terdapat juga maklumat yang bocor dari pihak-pihak tertentu bahawa usaha menambah kertas undi hantu akan dibuat jika terdapat tanda-tanda golongan pelajar pro-UMNO akan tewas lagi kali ini. Ruang ini memang ada dan mudah berlaku kerana proses pembuangan undi berlaku di kolej kediaman dan pengiraan undi berlaku di Pusat Komputer tanpa ada badan bebas yang mengawas serta proses pengiraan mengambil masa lebih 10 jam. Dan sekiranya golongan pro-UMNO akan tewas lagi, pelbagai alasan akan dibuat bagi menangguhkan pilihanraya. Tindakan HEP di UM membatalkan kelayakan 9 orang calon pro-Islam di UM kerana sebab-sebab teknikal adalah keterlaluan dan double-standard.

Melihat kepada senario di atas, dapatlah dirumuskan bahawa

a. Pihak UMNO, sejak dari dahulu lagi, melalui kuasa Timbalan Menteri Pendidikan, menerusi HEP, merancang konspirasi rapi dan canggih bagi memastikan golongan pro-Islam
tidak lagi menerajui kampus.

b. Golongan pelajar pro-Islam bukan sahaja berhadapan dengan golongan pelajar pro-UMNO, tetapi mereka berhadapan dengan Timbalan Menteri Pendidikan, UMNO, HEP, dan jentera universiti yang dimonopoli oleh UMNO dan BN.

Maka tidak hairanlah jika golongan pelajar pro-UMNO atau pro-BN kan menang tahun ini di semua kampus. Terpulanglah kepada kebijaksanaan pelajar kali ini. Walaupun pelajar sering ditipu, dikelirukan, dan ditakut-takutkan sebelum ini dengan pelbagai muslihat UMNO dan BN di kampus-kampus, pelajar-pelajar IPTA telah menunjukkan kematangan dan kedewasaan mereka dengan baik sebelum ini, tetapi kali ini agak sukar untuk diramal.

Kalau pemegang Ph.D. dan masters di kalangan pegawai kerajaan termasuklah pegawai-pegawai dan pensyarah-pensyarah boleh ditipu, dikelirukan, dan ditakut-takutkan oleh pihak UMNO dan BN, maka golongan pelajar yang belum ada ijazah belum pasti dapat membebaskan diri mereka dari belenggu penipuan, kekeliruan, dan ketakutan serta menafikan kemenangan golongan pro-UMNO dan pro-BN yang sudah tersepit dalam kumpulan desperado.

Kita berharap agar pihak pengurusan universiti khususnya Naib-Naib Canselor supaya mengambil langkah-langkah perlu bagi menjaga martabat gedung ilmu, para intelek dan bakal golongan intelek muda, dan prinsip-prinsip demokrasi serta kebebasan berfikir di tempat masing-masing.

Semoga Allah bersama orang-orang yang benar. Selamat mengundi!

Pemerhati Kampus
dari Menara KLCC2020

0 Comments:

Post a Comment

<< Home